Petang tadi selepas berjaya menyelesaikan semua kerja yang terbengkalai, saya duduk-duduk di tepi tingkap. Mengambil angin kerana kepala terasa amat sendat. 5 jam menghadap skrin komputer tanpa henti, urat mata saya jadi panas dan berdenyut-denyut. Anak pokok kaktus yang saya letak di tepi komputer tidak memadai. Begitu juga dengan Eye-Mo. Saya perlu menonton kehijauan alam. Warna klorofil dedaun. Terapi semulajadi untuk mata yang keletihan.

Belum pun lama saya beristirahat, baru sahaja hendak menghidupkan sebatang rokok jenama dari seberang, bayu dingin bergulung-gulung masuk ikut tingkap. Menerpa-nerpa muka saya yang kian ‘jatuh’ dilurut umur. Di luar, ranting pohon bergoyang-goyang, dedaun kering berterbangan, menari-nari ditiup angin. Semacam berpesta.

Hari hendak hujan, pantas saya membuat kesimpulan.

Saya mengintai ke celah dada langit petang yang kian gelap diselaputi awan-gemawan. Warnanya kelabu. Sebilah petir kuning muncul tak semena-mena lalu memanah awan kelabu tersebut. Dada kiri saya terasa ngilu. Petir kuning menjalar seperti jari-jemari ahli sihir, kurus panjang lagi menakutkan. Cahayanya membias ke sekeliling, sejenak dunia jadi terang sesaat dua dan kemudian, kembali gelap. Disusuli dengan guruh; bunyinya seperti seorang lelaki tua yang sedang berdehem panjang menerusi sebuah pembesar suara gergasi. Saya menutup telinga.

Dada kiri saya terasa ngilu.

Saya melihat ke arah awan kelabu. Awan kelabu yang dipanah petir tadi tidak pecah berkecai. Tidak robek. Elok sahaja ia di situ, menutup dada langit yang sedang bertelanjang bogel.

Dada kiri saya terasa ngilu. Seperti ada bendalir panas yang mengalir deras membasahi badan saya. Saya meletakkan tangan di dada kiri. Menekap-nekap. Kemudian tangan dibawa ke hadapan mata. Di telapak tangan, saya terlihat warna merah pekat. Hidung saya serta-merta menangkap bau hamis hemoglobin.

Tetapi saya tidak lekas kaget.

Saya, Fateh bin Hamidi mempunyai parut kecil di dada kiri. Dan petang tadi, semasa petir kuning memanah awan kelabu, parut tersebut robek kembali.

Saya berdiri di hadapan cermin. Saya tanggal baju. Di dalam cermin itu saya melihat torso seorang lelaki awal 40-an yang sedang hebat bermandikan lumpur merah. Dada kiri saya tidak henti-henti membuakkan cairan. Saya tidak ambil kain untuk mengelapnya. Saya biarkan cairan merah itu keluar sepuas-puas hatinya. Bila ‘dia’ sudah penat, ‘dia’ pasti akan berhenti sendiri, kata saya di dalam hati.

Saya sebenarnya sudah mengalami kejadian ini berulang kali. Selepas habis cairan merah tersebut keluar, saya pasti akan tertidur panjang, kadang-kadang berlanjutan sehingga 2-3 hari. Begitulah selalunya yang terjadi.

Kali pertama saya mendapat parut itu sekaligus melihat dengan mata kepala sendiri dada kiri tidak henti-henti membuakkan cairan merah, saya pengsan satu hari suntuk. Tertiarap macam biawak mati di atas lantai. Memang memalukan. Sungguh, saya tak tipu.

Kira-kira 15 tahun yang lalu, saya berada di sebuah kedai buku terpakai. Kedai Buku Terpakai Ali Mustapa, antara banyak-banyak kedai antik di sepanjang Jalan Hang Jebat, Melaka. Saya memilih untuk singgah ke kedai ini. Yang menarik perhatian saya ialah buku-buku lama, bukan kasut manik si nyonya yang cantik, bukan cendol, bukan cenderamata berkilat-kilat. Itu semua boleh tunggu.

Nyonya tersenyum manis di muka pintu kedai menjual kasut manik, melirik ke arah saya yang berjalan melintasinya. Mata Nyonya yang sepet jadi bertambah sepet. Bibirnya yang oren mandarin, nampak menyelerakan. Saya teringat di dalam poket saya cuma ada beberapa keping not hijau yang berkeronyok.

Di dalam Kedai Buku Terpakai Ali Mustapa, saya langsung hilang di celahan rak-rak bukunya. Dari atas lantai hingga lagi sejengkal hendak mencapai siling, buku-buku terpakai disusun bertingkat-tingkat. Tulang-tulang buku ada yang terkopek menampakkan benang bindnya, ada buku yang masih dalam keadaan baik. Buku-buku baru juga ada. Kulit yang berwarna-warni. Helaian muka surat yang kekuningan. Nama-nama penulis yang tidak pernah pun saya ketahui sebelum ini. Judul-judul yang pelik. Habuk yang berterbangan. Saya bersin beberapa kali. Si penjaga kedai yang 50 peratus mukanya ditutup dengan bulu putih kerinting memandang ke arah saya dari meja bayaran, dan tersenyum.

Kedai Buku Terpakai Ali Mustapa macam sebuah perpustakaan kurun ke-18.

Saya ke bahagian fiksyen. Saya tahu Kedai Buku Terpakai Ali Mustapa tidak membahagi-bahagikan ruang kedainya kepada seksyen seperti ‘Fiction’, ‘Non-Fiction’, ‘Academic’, ‘Business’ dan sebagainya. Saya cuma mengandaikan. Saya ada beberapa jam lagi sebelum dihambat tugasan semula. Jadi saya tarik keluar sebuah buku dan baca sampai habis.

Ia sebuah buku dongengan rakyat Eropah. Menurut buku cerita dongeng itu, putera katak tidak dicium oleh puteri raja untuk mengembalikan kepada rupa dirinya yang sebenar (iaitu seorang manusia, putera raja). Sebaliknya katak yang terkena sumpahan tersebut dilempar ke dinding dengan sekuat hati oleh puteri raja itu. Katak itu disakiti, bukan dibelai.

Aneh, berbeza sekali dengan kisah Putera Katak yang saya dengar sejak kecil. Tak mengapa. Ia melegakan saya juga. Mencium katak di mulutnya adalah satu perkara yang sangat menggelikan.

Saya tarik keluar sebuah buku lusuh pula. Buku koleksi nursery rhymes. Puisi-puisi pendek, dalam bahasa orang putih.

Roses are red, violets are blue, sugar is sweet, and so are you…

Saya tersengih-sengih sendiri. Saya teringat dahulu saya pernah memberi puisi ini kepada budak perempuan yang saya suka. Masa itu saya dalam darjah lima.

Saya ke kaunter bayaran. Saya tidak membawa wang yang banyak. Lagi pula, saya teringat yang saya belum makan tengah hari lagi. Saya tidak tahu Kedai Buku Terpakai Ali Mustapa wujud, kalau tidak sudah lama saya heret sekali tabung babi saya ke sini. Wang saya hanya cukup-cukup untuk membeli sebuah buku puisi hasil tarian pena Chairil Anwar. Besok, saya akan ke sini lagi. Saya memasang azam.

Si penjaga kedai yang 50 peratus mukanya ditutup dengan bulu putih kerinting menekan-nekan butang digit pada mesin wang. Sementara itu mata saya merewang ke sekeliling kedai.

Kedai Buku Terpakai Ali Mustapa kelihatan hening. Biasan cahaya mentari petang yang keemasan masuk ikut pintu dan jendela tingkap. Lalu cahaya emas itu tumpah ke atas lantai, tumpah ke celah-celah rak kayu, tumpah ke atas tulang-tulang buku, tumpah ke atas replika glob dunia, tumpah ke atas bulu muka si penjaga kedai yang putih kerinting, tumpah ke atas sekujur tubuh seorang wanita yang sedang berdiri tegak di hadapan sebuah rak yang sendat dengan nashkah lama. Bibirnya yang berwarna ceri merah, melengkung ke atas.

Wanita itu sedang tersenyum ke arah saya.
Dada kiri saya terasa ngilu.

Biasan cahaya mentari petang yang keemasan memang berkuasa. Kedai Buku Terpakai Ali Mustapa jadi macam gua emas Aladdin. Berkilau-kilauan. Ini adalah gua harta karun yang real. Siapa sangka ada gua Ali Baba di sekitar Jalan Hang Jebat, Melaka?

Dada kiri saya terasa ngilu.

Saya tidak sedar akan itu; suasana keemasan di Kedai Buku Terpakai Ali Mustapa. Mata saya sudah direnggut keluar oleh wanita berbibir ceri merah yang sedang berdiri tegak di hadapan sebuah rak yang sendat dengan nashkah lama. Wanita itu sedang tersenyum. Sepasang anak matanya yang hitam arang merenung saya sehingga tembus ke belakang kepala.

Aduhai, dada kiri saya terasa ngilu.

Wanita itu memakai sepasang kebaya nyonya berwarna hitam bersulam benang emas, berkilau-kilauan macam cahaya mentari petang. Berkain batik corak kipas tangan yang sungguh berseni lukisannya. Rambutnya yang panjang hitam ikal mayang disikat rapi melepasi paras dada.

Roses are red, violets are blue, sugar is sweet, and so are you…

Saya tidak terkata apa-apa. Saya tidak bergerak-gerak. Saya kaku, keras macam kayu. Mata saya yang terbeliak sudah cukup untuk menyatakan bahawa saya sedang mengalami kejutan yang terlampau. Dada kiri saya terasa ngilu. Wanita berbibir ceri merah hanya tersenyum terus-menerus ke arah saya.

Kali ini dada kiri saya betul-betul terasa ngilu.

Saya menunduk melihat ke dada kiri saya. Hah?!!! Ada sebilah anak panah perak melekat di situ. Cairan merah membuak-buak keluar. Tubuh saya sudah lencun bermandi lumpur merah. Hidung saya menangkap bau hamis hemoglobin. Saya kepucatan. DARAH! Saya berdarah! Patutlah saya berasa sangat sakit!

Saya jatuh melutut. Dengan anak panah masih di terpacak di dada kiri. Saya melihat semula ke arah wanita berbibir ceri merah. Baru saya sedar, bibir wanita itu berwarna seperti darah merah yang pekat. Sama macam cairan merah yang membuak-buak keluar dari lubang di dada kiri saya.

Wanita berbibir ceri merah menapak ke arah saya yang sedang mengalami pendarahan teruk. Mata saya yang terbeliak tidak berkelip-kelip dari tadi. Saya hanya nampak sepasang matanya. Saya tidak nampak akan buku-buku yang banyak di sekeliling saya. Saya tidak nampak akan si penjaga kedai berbulu putih kerinting. Saya tidak perasan akan alam sekeliling yang sedang dilimpahi cahaya mentari petang. Saya hanya nampak wanita berbibir ceri merah.

Saya terbau wangi buah ceri. Saya terbau wangi kayu mahogany. Mata saya keluar air. Saya sakit.

Dia sudah berada di hadapan saya. Menunduk dan memegang anak panah perak yang entah dari mana datangnya tiba-tiba menebak dada kiri saya. Dengan pantas wanita berbibir ceri merah menarik keluar anak panah tersebut secara paksa. Cairan merah memancut keluar seperti air paip. Badan saya tersentak ke hadapan. Saya terjerit kesakitan, aaarrrggghhh… tetapi tidak keluar suara. Saya rebah. Tertiarap di dalam kolam cairan merah yang hamis. Wanita berbibir ceri merah tertawa kecil seakan mengejek melihat saya yang tertiarap lemah, hampir putus nyawa. Saya terkebil-kebil menahan sakit di dada kiri. Berdenyut-denyut rasanya. Ini pasti meninggalkan parut. Celaka, apa yang sedang berlaku kepada saya ini?

Wanita berbibir ceri merah berlalu. Saya tidak dapat bangun. Saya cuma dapat melihat tapak kakinya yang kecil molek menapak keluar dari Kedai Buku Terpakai Ali Mustapa. Tapak kakinya berwarna merah jambu. Saya hanya dapat melihat. Dan membiarkan sahaja wanita berbibir ceri merah pergi. Saya tidak mampu marah kepadanya yang menarik keluar anak panah perak secara paksa. Saya kesakitan dibuatnya tetapi saya tidak marah. Saya sedikit gembira. Saya seronok. Saya tersengih-sengih dalam keadaan tertiarap macam biawak mati di dalam kolam cairan merah yang hamis. Saya kesal kerana tertiarap begini. Saya malu. Saya menangis kesal kerana tidak mampu berbuat apa-apa.

Saya ini kebingungan.
Saya mental.
Fateh bin Hamidi, dukacita dimaklumkan bahawa anda disahkan menghidap penyakit Gila jenis A positif.

Saya tidak sedar berapa lama saya tertiarap di lantai Kedai Buku Terpakai Ali Mustapa. Tahu-tahu sahaja saya didapati sedang tertiarap di atas katil bilik hotel dengan sebotol air ceri merah berada di atas meja sisi katil. Saya ke Melaka atas dasar tugasan, tetapi saya tidak hadir ke mesyuarat yang dijadualkan pukul 8.30 malam hari itu. Waktu saya tersedar dari pengsan, jam menunjukkan pukul 8 pagi. Saya telah ‘hilang’ selama hampir satu hari.

Pukul 10 pagi keesokannya, saya ke Jalan Hang Jebat lagi. Saya ingin ke Kedai Buku Terpakai Ali Mustapa. Saya tidak mahu membeli buku terpakai. Saya cuma mahu berjumpa dengan wanita berbibir ceri merah. Saya meraba dada kiri yang ditebak anak panah perak semalam. Anehnya, ia tidak meninggalkan walau segarit parut pun.

Malam, saya pulang ke hotel semula. Saya difahamkan di Jalan Hang Jebat, Melaka, tidak ada satu kedai pun yang mendaftar di bawah nama Kedai Buku Terpakai Ali Mustapa. Berkali-kali Nyonya oren mandarin yang baik hati memaklumkan kepada saya tentang hal itu. Saya berkeras kepala. Saya kehulu-hilir mencari kedai itu selama seminggu. Tetapi kecewa, hampa. Memang tidak ada.

Where are you…
Cherry red, sweeter than the honeycomb, sweeter still when we’re alone,
Cherry red, my cherry red…


Saya tidak berjaya bertemu dengan wanita berbibir ceri merah. Saya kemeroyanan. Saya sakit hati. Saya juga kebingungan. Lantas saya banyak menghabiskan masa dengan tidur. Saya penat mencari. Seminggu kemudian saya pulang ke ibu kota. Wanita berbibir ceri merah saya tinggalkan seketika di Melaka. Saya harap dapat bertemu dengannya sekali lagi. Walaupun dia kejam, kerana menarik anak panah perak di dada kiri saya secara paksa. Kerana menyebabkan saya mengalami pendarahan dalaman yang kronik. Jika berjumpa dengannya sekali lagi, saya tidak akan terdiam sahaja. Saya tidak akan tertiarap lemah.

Setiap bulan saya tidak gagal menjenguk bandaraya Melaka. Saya akan menyusur Jalan Hang Jebat dengan berhati-hati. Saya tidak mahu terlepas pandang walau seinci pun. Saya mencari wanita berbibir ceri merah. Sehingga ke hari ini. Ini kerja gila. Tetapi peduli apa saya!

Petang tadi selepas berjaya menyelesaikan semua kerja yang terbengkalai, saya duduk-duduk di tepi tingkap. Mengambil angin kerana kepala terasa amat sendat. 5 jam menghadap skrin komputer tanpa henti, urat mata saya jadi panas dan berdenyut-denyut. Anak pokok kaktus yang saya letak di tepi komputer tidak memadai. Begitu juga dengan Eye-Mo. Saya perlu menonton kehijauan alam. Warna klorofil dedaun. Terapi semulajadi untuk mata yang keletihan.

Belum pun lama saya beristirahat, baru sahaja hendak menghidupkan sebatang rokok jenama dari seberang, bayu dingin bergulung-gulung masuk ikut tingkap. Menerpa-nerpa muka saya yang kian ‘jatuh’ dilurut umur. Di luar, ranting pohon bergoyang-goyang, dedaun kering berterbangan, menari-nari ditiup angin. Semacam berpesta.

Hari hendak hujan, pantas saya membuat kesimpulan.

Saya mengintai ke celah dada langit petang yang kian gelap diselaputi awan-gemawan. Warnanya kelabu. Sebilah petir kuning muncul tak semena-mena lalu memanah awan kelabu tersebut. Disusuli dengan guruh; bunyinya seperti seorang lelaki tua yang sedang berdehem panjang menerusi sebuah pembesar suara gergasi. Saya menutup telinga.

Saya melihat ke arah awan kelabu. Awan kelabu yang dipanah petir tadi pecah berkecai. Robek.

Awan kelabu menangis kerana dia berasa sangat sakit. Air matanya mengalir deras. Tempias masuk ke dalam bilik pejabat saya di aras 18 sebuah bangunan pencakar langit.

Bunyi guruh tadi mengejutkan saya dari lamunan. Saya tidak tahu sudah berapa lama saya duduk-duduk di situ, di tepi tingkap. Sedar-sedar saya sudah basah kuyup. Basah kuyup disimbah air mata awan kelabu. Lagu Bee Gees bertajuk Cherry Red kedengaran perlahan dari speaker komputer meja saya, melatari suasana senja yang hampir masuk waktu Maghrib.

 Cherry red, sweeter than the honeycomb, sweeter still when we’re alone, cherry red, my cherry red…

Petang telah berlabuh. Bahtera malam pula sudah selamat berlayar di lautan jagatraya. Saya menutup tingkap. Kembali ke meja komputer. Membuka sebotol air minuman berperisa ceri lantas meneguknya dengan gelojoh. Air ceri meleleh keluar dari mulut saya, mengalir ke leher. Dan mengena baju.

Baju putih saya basah. Basah dengan air hujan. Bercampur air ceri yang merah macam darah.

Petang tadi awan kelabu menangis semahu-mahunya…

FIN

Komen-komen
  1. nurdani berkata:

    cantik lukisan…suuuuka sangat tengok.rama2…dah lama tak kejor.hehe

    Like

  2. eyka berkata:

    dulu eyka kecik2 suke skodeng haiwan main setubuh2 segalaa..syok! kah kah kah😛

    tapi macamne ek kalau nak tgok si rama rama plak setubuh..tak pernh tgok lagi..nak gi skodeng ahh nantii!! yeahh! hahaha:P

    eh u..lukisan cantikk tauu! nice ;D

    Like

  3. MoonStone berkata:

    bila baca entri ni, otak aku tiba-tiba dan spontan serta automatik terpasang lagu ‘Forest of Dreams’ oleh Kinetic Flow [kau mesti akan google lagu ni dekat youtube, kan? cari yang ada subtitle lirik english, keh.. keh…]

    Like

  4. Enchik Hyde berkata:

    panjang juga, tapi berjaya kuhabiskan.

    rifa memang banyak idea menulis yang superb.

    Like

  5. Aujinz berkata:

    Nasib baik aku baca blog hang guna henpon kat parking kereta jer..so boleh skroll perlahan lahan dengan font yang besar.. kalau aku baca guna pc, mau mengigau aku nak habiskan..

    memula aku nak rumuskan, yang mamat tue kena panah petir…koh koh koh..

    Like

  6. Pa Johan berkata:

    nurdani: terima kasih!😀
    eyka: lol kenapa pulak cerita pasal setubuh2 ni…eeekkkk
    nusra: tak layan kot korea, sebab tu tak tahu. tapi dah tengok dekat youtiub. tq!
    hyde: lenkali kalau tak larat, tak payah baca tau.
    aujinz: amboi kau, sampai baca dekat parking lot tu…
    mamat tu tak kena panah petir lah. dia masih hidup sampai la ni.

    Like

  7. tufah berkata:

    terpukau aku baca kau punya entri panjang2 ni. nasib baik best. haha

    Like

  8. Remy berkata:

    Y u so noir?

    Like

  9. che_lin berkata:

    …so deep and intense…that’s y i loike it…😀
    it shd be “why dont you write anything”, rather than y u not write anything (peace…)

    Like

  10. Pa Johan berkata:

    Y U no write anything tu adalah bahasa 9gag.com, kak. haha!

    Like

  11. zulfikar Hazri berkata:

    1. lelaki tu skizo ke?

    2. wanita bibir ceri merah tu hantu?

    3. Ali mustapha tu macam ali mamak tak?

    4. kepak rama2 tu besar pinggan nasik?

    5. lelaki tu kerja apa?

    6. kenapa darah dia keluar mcm darah haid?

    7. apsal lepas baca makin banyak persoalan? dah lah.. nak gi main tenteng ngan bobby…

    Like

  12. Pa Johan berkata:

    1. entah
    2. boleh jadi
    3. ali mamak hensem lagi
    4. ya
    5. kerja opis
    6. kau pernah tengok darah haid? ewww…
    7. LOL LOL LOL!

    Like

Timakasih! :>

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s