Mencari Tuhan Di Bawah Lampu Disko

Posted: 13 Oktober 2011 in Karangan Bertulisan Komputer, Karut-tiviti

Suatu malam, seorang wanita muda datang ke kelab malam tempat saya bekerja. Duduk di sebuah kerusi di satu ceruk yang terasing, dia bersendirian, dan kelihatan amat letih dan ‘sunyi’ sekali. Di wajahnya seolah-olah menggambarkan yang dia baru sahaja menamatkan larian merentas desa beberapa kali, dan tidak mendapat rehat yang secukupnya selepas itu.

Selama 2 tahun saya bekerja sambilan sebagai pelayan bar di kelab malam di tengah-tengah kota London ini, tidak pernah sekali pun saya perasan akan wanita muda itu. Mungkin ini kali pertama dia ke sini, getus hati saya. Saya kenal dan sekurang-kurangnya cam setiap muka yang datang ke kelab ini; kebanyakan daripada mereka adalah pelanggan tetap, dan kawan-kawan sekolej saya sendiri.

Jadi wanita muda itu, saya kira, adalah pelanggan baru.

Dengan kulitnya yang pucat, dia kelihatan ‘terpisah’ dalam pakaian serba hitamnya. Sangat kontra. Dia mungkin kelihatan membosankan, kusam, dan biasa saja pada pandangan mata orang lain, tapi wanita muda itu berjaya membolot kesemua perhatian saya dengan cepat sekali. Saya tidak tahu kenapa. Dari detik pertama dia melangkah masuk ke sini, saya asyik memandang ke arahnya. Kami tidak pernah bertentang mata. Kerana dia asyik melihat orang menari. Walaupun saya tahu, dia bukannya betul-betul melihat ke arah mereka pun. Mindanya menerawang entah ke mana-mana. Dia tidak endah akan sekeliling. Saya tahu. Saya betul-betul tahu. Saya amat yakin.

Kerana pandangan matanya kosong macam orang mati.

Dia ‘tidak hidup’.

Selepas malam itu, wanita muda tersebut setiap hari datang ke kelab ini. Setiap kali, dengan reaksi yang sama. Di celah-celah kepulan asap rokok dan karbon dioksida kering, di celah-celah badan muda-mudi yang sedang ligat berdansing, di celah-celah dentingan botol dan gelas kaca berisi cecair kuning, di celah-celah lagu yang kuat menyaring, bola mata saya tidak dapat lari daripada asyik memerhatikannya; wanita muda itu. Dia saya rasa, tidak tahu tentang hal ini. Sudah 8 hari berturut-turut saya jadi begini. Menjadi pemerhatinya yang setia. Dan dia pula terus-menerus duduk di ceruk yang terasing itu, tidak peduli dan tidak pula dipedulikan orang.

Wanita muda berpakaian hitam itu memang benar-benar berdaya tarikan, sekurang-kurangnya kepada saya seorang.

Dan selama 8 hari berturut-turut ini, setiap kali dia melangkah pergi dari kelab, dia akan meninggalkan secebis nota kecil yang dia tulis di atas sekeping tisu. Hanya selepas kelibatnya hilang di sebalik pintu keluar kelab, barulah saya akan meninggalkan kaunter bar dan kelam-kabut saya akan mengambilnya (nota kecil oleh wanita muda, yang ditinggalkan di atas meja). Takut-takut ia diterbangkan lalu dipijak oleh kaki-kaki yang sedang liar berjalan ke hulu-hilir.

Setakat ini saya sudah berjaya mengumpul 8 nota kecil milik wanita muda berpakaian hitam. Saya salin semula di dalam buku dan buku itu saya letak di bawah meja tempat saya melayan permintaan minuman dari pelanggan. Saya tidak lupa membacanya setiap hari. Saya malah menghafalnya dengan lancar sekali. Seperti menghafal sifir 2. Coretannya bukan menarik sangat pun, tetapi pada saya, ia istimewa.

Kerana ia ditulis oleh wanita muda itu.

MALANGNYA, wanita muda berpakaian hitam tidak muncul-muncul semula di kelab malam selepas mencoret nota yang ke-8. Saya tertunggu-tunggu akan kehadirannya. Saya rindu akan kulitnya yang pucat, pakaiannya yang hitam, wajahnya yang sunyi, rambutnya yang kusam, dan pandangan matanya yang kosong.

Apa yang penting sekali, saya rindu akan coretannya. Saya rindu betul. Entah kenapa dengan saya ini. Mungkin saya sudah terbiasa dengan kehadirannya di sini. Saya tidak tahu kenapa wanita muda yang kusam dan ‘mati’ pula itu memberi impak yang boleh tahan besar juga dalam hidup saya. Padahal, saya berjumpa dengan ramai orang yang menarik setiap hari.

Saya hampir gila. Saya hampir gila kerana saya rindu. Saya juga mahu tahu adakah coretannya akan habis di setakat nota yang ke-8 sahaja. Saya mahukan sambungannya. Takkanlah habis begitu saja… saya merintih di dalam hati. Saya kecewa ‘ditinggalkan’ sebegitu tanpa alasan yang solid. Tahu tak? Gila saya dibuatnya!

Saya ternanti-nanti. Setiap kali pintu masuk kelab dikuak, saya akan memanjangkan leher dengan hati yang berdebar-debar dan penuh berharap. Agar yang masuk itu ialah wanita muda berpakaian hitam. Tetapi saya dikecewakan. Setiap kali.

Sudah berpuluh-puluh kali.

Sudah beratus-ratus kali.

Sudah beribu-ribu kali.

Termasuk malam ini.

Malam ke-100 tanpa kehadiran wanita muda berpakaian hitam.

Selepas itu saya meneruskan hidup saya seperti biasa. Saya tidak mahu menunggu lagi wanita muda itu dan nota kecilnya. Membazir masa. Dia tidak akan hadir. Mungkin dia sudah mati. Kali terakhir saya lihat dia pun, macam sedang sakaratul maut sahaja. Atau mungkin dia sedang mencari sesuatu di kelab ini, dan dia tidak menemuinya. Mungkin minuman di kelab ini tidak kena dengan citarasanya. Ah, sudahlah. Buat apa memikirkan pada benda yang tidak pasti.

Sebenarnya saya tidak berdaya menipu hati sendiri. Saya tetap menantinya. Setiap malam. Saya menyumpah-nyumpah perasaan ini. Ia membuat saya menderita. Penantian ini. Buat saya tak keruan. Tapi saya tekad ingin melupakannya juga. Wanita muda itu.

Dan saya berjaya.

Kerana sudah setahun berlalu sejak wanita muda berpakaian hitam melangkahkan kakinya keluar dari kelab malam ini. Lama-lama. Saya sudah terlupa akan dia.

Pada suatu malam, selepas habis kerja, saya tergerak hati hendak membuka buku yang ada tertulis coretan wanita muda berpakaian hitam. Sudah cukup lama saya tidak membacanya. Sejak malam saya menanam tekad hendak melupakan wanita muda itu.

Saya baca perlahan-lahan, hingga coretan ke-9.

Tunggu dulu.
Coretan ke-9?

Sejak bila?

Saya tidak ingat menyalin nota kecil yang ke-9 milik wanita muda berpakaian hitam. Bagaimana ada di dalam buku ini, di bawah coretan yang ke-8? Saya baca berulangkali. Saya kira setiap rangkap. Memang benar ada 9.

9!
9!
9!

Saya diserang ketakutan.

Lemah lutut, sehingga terduduk.

Kemudian, apabila saya sudah lega sedikit, sudah hilang debar, saya buang buku itu di dalam tong sampah besar di belakang kelab.

Lalu, saya cepat-cepat mengorak langkah meninggalkan kelab. Hari sudah hampir subuh. Saya hendak balik ke rumah. Tidur. Untuk melupakan perkara tadi. Tiba-tiba, langkah saya terhenti. Perjalanan saya terhalang kerana ada seseorang di hadapan saya.

Awak mahu tahu siapa seseorang yang menghalang perjalanan saya pada hari itu?

Ya.

Wanita muda itu.

Kali ini dia berpakaian serba putih, kulitnya kemerahan, wajahnya manis, rambutnya coklat berkilat yang rapi, dan matanya jernih lagi bercahaya.

Dia tersenyum.

Dan menghulur tangan kanannya yang suci ke arah saya.

Saya sambut huluran tangannya tanpa dapat berfikir apa-apa.
Saya tidak perlu berfikir apa-apa.

Kerana yang menghulur tangan itu ialah wanita muda itu.

Wanita muda yang lama saya rindu.

Diri saya yang telah lama hilang…

Selama ini aku tercari-cari
Warna putih dalam
Warna-warni pelangi yang indah

Selama ini aku tercari-cari
Kebebasan diri dalam
Dunia yang luas terbentang

Selama ini aku tercari-cari
Pengubat sunyi dalam
Hiruk-pikuk suara mereka yang memekakkan

Selama ini aku tercari-cari
Sahabat sejati dalam
Wajah mereka yang berhias dengan senyuman

Selama ini aku tercari-cari
Pertolongan dalam
Lautan tangan mereka yang melemaskan

Selama ini aku tercari-cari
Kebenaran dalam
Setiap patah bicara mereka yang meyakinkan

Selama ini aku tercari-cari
Siapa aku dalam
Tubuh yang sempurna ini

Selama ini aku tercari-cari
Siapa Engkau
Yang mewujudkan ‘aku’ dalam tubuh yang sempurna ini

Mengenali diriMu
Mengetahui siapa diriku
Itulah pencarian yang paling berharga.

Sebenar-benar Pencarian,
Rifa Johan, 2007

Nota: Punyalah beria-ia kau baca cerita merepek ni. Kakakaka… (sori beb, aku dah tak ada idea -_-)

Komen-komen
  1. Remy berkata:

    Tak tahu kenapa, aku rasa macam de javu.

    Karya kau makin deep.
    Double good job🙂

    Like

  2. nice ,itu saja yang gua buleh cakap

    Like

  3. awanis berkata:

    peng, walaupun aku tension dgn ending cerita ni, aku tetap suka. tukar profession tulis cerpen plak ke ni?😛

    Like

  4. Kringet berkata:

    Awak makan apa sampai gifted macam ni gaya?

    Like

  5. Prinz Aujinz berkata:

    okeyh.. ada sembilan rangkap.. hue hue hue

    Like

  6. Enchik Hyde berkata:

    tahukah anda, saya suka betul dengan penulisan anda?

    walau tak faham apakebendanya motif karya ini, tapi in the end rasa kepuasan pula.

    teruskan berkarya😉

    Like

  7. zulfikar Hazri berkata:

    dalam banyak2 entry kau, semua ending best, tapi kali ni starting best….

    ending…? pun best

    Like

  8. deeya berkata:

    kenape aku seram ?? hatiku berdebar2 ? kenape ? aku masih tercari2 sesuatu di entry ini

    Like

  9. haryzkhairuddin berkata:

    sometimes we’re not truly understand what we’re writing… but it leave ‘something’ to your reader’s heart. n same goes with this entry. one of your masterpiece I guess. well done!

    *tp yg aku konfius tu dari mana dtgnye coretan ke-9 tuh? adakah that lady is a ghost?? ;p

    Like

    • PA JOHAN berkata:

      haris, terharu aku baca komen kau. terima kasih banyak2 kerana bersabar dgn benda2 merepek ini.

      * coretan ke-9 ditulis oleh ‘saya’ dlm keadaan separa sedar diri.

      Like

  10. Tanpa Nama berkata:

    cool!

    Like

  11. Xie Ra berkata:

    Adik Pa(tiba2 nk pgil adik.. kehkeh) Ini kali kedua baca entry ni. Dlm masa 3-4 ari bc dr January, sy dh smpi sini skg.

    Satu je nk tnya, warna rambut awak coklat eh?😀

    Like

    • Pa Johan berkata:

      terima kasih lah, terima kasih lah sbb membaca, honto ni arigato gozaimasu… (tertunduk-tunduk mcm org jepun).
      entri tu tak ada kaitan dgn saya, kak. perempuan tu org London, mmg rambut dia coklat.
      saya Asian, jadi rambut saya hitam.🙂

      Like

  12. Tanpa Nama berkata:

    nais =)

    Like

  13. che_lin berkata:

    🙂 saya & suami pun suka mkn choki2, kegemaran menurun kpd anak kami.tp setakat ini belum pandai menulis ‘secantik’ ini.tp kami pun suka juga mkn cheezel.dah ada ‘fatwa’ ke yg kata mkn cheezel blh dpt cancer?mak sy x pnh mkn cheezel.tp dia cancer juga😦 dah takdir

    Like

  14. Pa Johan berkata:

    tanpa nama : =)))))))))))))))))) 🙂
    che lin : choki-choki best, saya suka perasa yg original. yg tak ada jaluran susu atau gajus tu! eh tak ada lah ‘fatwa’, tp saya kurang makan keropok sbb keropok banyak MSG, nnt jadi pening2.
    harap che lin dan mak che lin tabah ye…😦

    Like

Timakasih! :>

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s